23 OGOS: PAS yakin Muafakat Nasional (MN) yang bakal disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mampu bertahan lama sekiranya semua parti saling membantu antara satu sama lain dan tiada yang mendominasi.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kelangsungan sesebuah gabungan politik bergantung cara parti komponen menguruskannya.
“Bila kita urus dengan cermat dan hormat menghormati, saya yakin ia mampu bertahan lama.
“Terutama sekali isu dominasi, semua parti perlu bergantung satu sama lain. Jika ada yang mendominasi, ia tidak akan bertahan lama.
“Justeru, apa-apa masalah yang timbul, kita perlu duduk di meja rundingan dan saya berharap Muafakat Nasional mampu bertahan sampai bila-bila demi masa depan negara,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Khas dan Kit COVID-19 kepada sekolah dan institut pendidikan dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, MN menerima surat persetujuan daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai gabungan itu, Selasa lalu.
Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, memaklumkan, ia susulan surat jemputan yang dihantar kepada BERSATU untuk menyertai gabungan itu pada 13 Ogos lalu.
Mengulas lanjut mengenai kesediaan BERSATU menyertai MN, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan BERSATU.
“Saya fikir ini berita gembira penyatuan parti politik yang sangat penting bagi memperkasakan agenda negara.
“Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi merangka strategi dan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.