23 OGOS: Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke sekolah khusus yang merangkumi sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah teknik (SMT), kolej vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) untuk sesi pengajian tahun depan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, ia telah membangunkan satu sistem permohonan kemasukan murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus menerusi saluran kemasukan berpusat.
Sistem itu membabitkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.
“Permohonan kemasukan ke sekolah khusus ini membabitkan SBP (tingkatan satu dan empat), SMKA (tingkatan satu dan empat), SMT (tingkatan empat), KV (tahun satu Sijil Vokasional Malaysia (SVM)) dan MTD (tingkatan empat),” jelas Kementerian Pendidikan.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, permohonan untuk kemasukan ke tingkatan satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke tingkatan empat pula melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.
Sehubungan itu, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.
Permohonan dalam talian bermula 7 September hingga 2 Oktober depan, masing-masing membabitkan tingkatan satu, tingkatan empat dan tahun satu SVM.
Semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan satu pula pada 7 hingga 23 Oktober depan manakala bagi tingkatan empat dan tahun satu SVM bermula 12 Oktober hingga 6 November depan.
Untuk pelaksanaan pentaksiran, ia bermula pada 12 hingga 23 Oktober depan bagi tingkatan satu dan 26 Oktober hingga 6 November membabitkan tingkatan empat serta tahun satu SVM.
“Untuk makluman, pentaksiran kemasukan sekolah khusus yang akan dilaksanakan ini merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).
“Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian, manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis.
“Maklumat lanjut berhubung pentaksiran ini akan dimaklumkan melalui portal Kementerian Pendidikan pada 1 September 2020,” kata kementerian itu. – Oleh HAIKA KHAZI