23 OGOS: Syarikat aplikasi popular, TikTok yang berasal dari China akan mencabar tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menuduh mereka sebagai ancaman terhadap keselamatan negara Uncle Sam itu.
Memetik laporan AFP, ketika ketegangan melonjak antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu, Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos yang memberikan rakyatnya tempoh 45 hari untuk berhenti berurus niaga dengan syarikat induk TikTok, ByteDance dan menetapkan tarikh akhir bagi penjualan aplikasi sensasi video yang berpotensi kepada syarikat AS.
“Walaupun kami sangat tidak setuju dengan pentadbiran Trump, selama hampir satu tahun kami berusaha mencari penyelesaian terbaik.
“Namun apa yang diterima sebagai galang gantinya, kami menghadapi proses yang kurang tepat kerana pentadbiran tidak memberi perhatian terhadap fakta tetapi sibuk memasukkannya dalam rundingan antara perniagaan swasta.
“Bagi memastikan undang-undang tidak diketepikan dan syarikat dan pengguna kami diperlakukan secara adil, kami tidak mempunyai pilihan, selain untuk mencabar Perintah Eksekutif melalui sistem kehakiman,” kata TikTok dalam satu kenyataan, semalam.
TikTok merancang untuk mengemukakan tuntutan itu di mahkamah minggu depan.
Trump mendakwa TikTok digunakan oleh China untuk menjejak lokasi kakitangan Persekutuan AS serta menyediakan dokumen kepada orang untuk memeras ugut dan melakukan pengintipan korporat.
Syarikat itu mengatakan tidak pernah memberikan data pengguna AS kepada kerajaan China manakala Beijing menyatakan tindakan keras Trump sebagai politik.
Langkah AS itu diambil menjelang pilihan raya Presiden pada 3 November ini dengan Trump berada di belakang pesaingnya Joe Biden dalam pemilihan, menjalankan kempen kerasnya yang membawa mesej anti-Beijing.