24 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 515 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 440 individu dikompaun manakala 69 individu direman dan enam individu telah dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (252), aktiviti di dalam pub/kelab malam (205), gagal mematuhi arahan kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (2), aktiviti perjudian (7) dan gagal lunaskan bayaran kompaun (2),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 53 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 29,777 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.
Ismail Sabri menyatakan, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi tersebut.
Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 23 Ogos 2020, seramai 15,980 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 67 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 55 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 8,459 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.
Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,403 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 1,381 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 22 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN