24 OGOS: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengeksploitasi isu bahasa sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan yang di Kuching itu jelas tidak sensitif dan melanggar susila selain mencabar undang-undang di negara ini.
“Contoh, beberapa hari lepas ada pihak menampal tulisan bahasa lain di papan tanda jalan yang bagi saya ini merupakan satu perkara mencabar undang- undang.
“Kerajaan perlu ambil tindakan tegas supaya tidak menjadi buah mulut atau bahan ejekan terhadap penguatkuasaan undang-undang,” katanya ketika membahas usul Rang Undang-Undang Akta Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyindir Pakatan Harapan (PH) yang baru-baru ini membangkitkan isu kesamarataan kepada semua pihak termasuk Menteri bagi tindakan undang-undang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang mereka juga turut melakukan perkara yang sama.
Beliau turut mempunyai bukti bergambar Ahli-Ahli Parlimen PH yang telah pun melanggar SOP ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
“Kita ada gambar-gambar ahli-ahli parlimen PH langgar SOP yang ada pergi urut di rumah jirannya ketika PKP dilaksanakan. Nak bagi amaran atau peringatan bahawa isu SOP berkaitan PKPP kita boleh bangkitkan.
“Maka SOP yang libatkan politik boleh ditekankan, saya takut kerana sebiji batu tidak terkena seekor burung sahaja tetapi kena burung lain yang boleh sebabkan satu sahaja terkena tetapi semua nanti turut sama terkena tempias,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berharap kerajaan dapat memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang perbuatan yang boleh mewujudkan masalah sosial yang teruk khususnya pengedaran dadah.
“Kawasan sempadan Pasir Mas, Rantau Panjang dan Thailand kawalan agak kritikal. Beberapa hari lepas ada rakyat mati ditembak di Thailand namun isu saya nak sentuh sempadan Malaysia dan Thailand boleh diceroboh dengn senang.
“Saya menyambut baik pihak keselamatan meletakkan kawat duri di sekitar sempatan tetapi belum mencukupi untuk ruang sempadan ini daripada tidak dicerobohi.
“Saya telah membuat lawatan pintu sempadan keadaannya cukup baik tetapi di kawasan pendalaman atau kampung boleh dicerobohi oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik,” katanya.