24 OGOS: Kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.
Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih mudah dan membantu kerajaan mempunyai pendapatan yang cukup untuk berbelanja di samping mengurangkan hutang kerajaan.
Menurut beliau, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah di negara ini.
“Negara Thailand, Australia, Filipina, Indonesia, New Zealand, dan Arab Saudi ada satu perkara yang kita tiada iaitu mereka ada GST, mempunyai percukaian paling mantap. Itu sebab GST dilaksanakan di 173 negara.
“Nak kurangkan kadar hutang kepada GDP ini. Kerajaan perlu memikirkan untuk melaksanakan semula VAT, kalau tak suka GST boleh tukar nama VAT,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berharap agar kerajaan dapat memastikan tiada ketirisan mahlumat berlaku kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika mereka melakukan operasi dan pemantauan.
“Beri mesin tertentu di mesin kontena di pelabuhan agar tiada kebocoran hasil. Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempunyai data GST untuk menutup penipuan cukai. Data-data ini perlu digunakan data-data walaupun telah menggunakan sistem SST,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH