24 OGOS: Kerajaan sedia menambah peruntukan suntikan dana fiskal dan membentangkan pakej rangsangan baharu bergantung kepada perkembangan semasa, sebagai usaha pemulihan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata beliau terbuka dengan perkara itu dengan kedudukan hutang kerajaan Persekutuan sehingga Jun lalu, adalah RM854.1 bilion atau 57.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, perangkaan itu berada pada tahap 53.2 peratus daripada KDNK sekiranya pengiraan dibuat berdasarkan had statutori hutang negara.
“Ini masih bawah 55 peratus dan kita anggarkan menjelang akhir 2020, hutang negara akan meningkat sekitar 56 peratus, bermakna kita ada ruang sekitar empat peratus lagi daripada KDNK untuk membuat pinjaman.
“Menerusi perkiraan, ruang empat peratus daripada KDNK ini bersamaan RM60 bilion, atau satu peratus mewakili RM15 bilion.
“Oleh itu, kerajaan sentiasa pantau situasi semasa dan kita bersedia tambah pakej rangsangan dan suntikan dana fiskal kerana ini semua harus dilaksana secara pelan dinamik.
“Meningkatkan paras hutang dengan ketara akan kompromi kedudukan kewangan semasa negara kerana apa yang kita pinjam perlu dibayar balik pada masa depan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengemukakan prestasi pelaksanaan bantuan fiskal, Tengku Zafrul berkata, seramai 22,266 daripada 43,560 peminjam individu yang memohon lanjutan moratorium mendapat kelulusan secara automatik daripada industri perbankan.
Katanya, kelulusan itu mendapat pertimbangan dan kelulusan segera daripada pengurusan bank berkaitan selepas peminjam mengemukakan butiran mengenai nasib mereka yang kehilangan pekerjaan berikutan pandemik COVID-19.
“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula sebanyak 3,325 permohonan diterima dan 2,465 daripadanya sudah mendapat kelulusan.
“Oleh itu, kemampuan bank untuk sediakan penampan yang secukupnya amat penting bagi membolehkan mereka menyerap kemungkinan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang lebih tinggi,” katanya.
Kepada gesaan supaya tidak mementingkan aspek penarafan global tatkala merintis usaha pemulihan ekonomi, Tengku Zafrul bersetuju dengan pendirian sedemikian kerana keutamaan kerajaan ialah terhadap rakyat dan negara.
Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa penarafan global terhadap prestasi kedudukan kewangan Malaysia berupaya menjadi cerminan dalam usaha meraih keyakinan pelabur, selain ia mempunyai kesan domino terhadap ekosistem domestik, aliran modal, prestasi dagangan dan pelbagai faktor lain.