24 OGOS: Pembinaan pusat data milik Microsoft di Kulai, Johor kini mencapai tahap 40 peratus.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembinaan pusat itu berupayaan merancakkan sektor ekonomi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan di negeri berkenaan.
“Pembinaan pusat data ini bukan sahaja dilihat dalam bentuk pelaburan yang khusus, tetapi ia dapat menyediakan peluang pekerjaan yang banyak.
“Ia juga dapat menarik syarikat-syarikat rangkaian Microsoft untuk datang ke Johor dan membuat pelaburan di sini,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri turut menerima pertanyaan daripada sebuah syarikat teknologi di Jepun yang berminat untuk membina pusat data di Johor.
“Banyak pihak menghubungi kerajaan negeri yang ingin meneroka bidang baharu untuk pelaburan. Ini kerana Johor adalah unik dan mempunyai banyak potensi untuk dimajukan,” jelasnya.
Hasni memberitahu, pembinaan pusat data itu juga diharap dapat menjadikan Johor sebagai negeri yang benar-benar berjaya melaksanakan inisiatif pendigitalan hasil limpahan manfaat daripada pembinaannya.
“Rakyat juga akan dapat menggunakan sepenuhnya internet yang ada dan menjadikan Johor sebagai negeri yang berjaya melaksanakan program pendigitalan,” katanya.