24 OGOS: Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukan sebanyak RM426.5 juta untuk melaksanakan pembinaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata FELDA pula menyediakan RM490 juta bagi tujuan sama pada 2013 dan 2014.
“Pada 2017, kerajaan memperuntukkan RM200 juta dan RM180 juta pada 2019, malah melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan baru-baru ini, sebanyak RM46.5 juta disediakan.
“Daripada RM46.5 juta menerusi peruntukan PRIHATIN, RM19 juta atau kira-kira 41 peratus adalah untuk Kerteh 5 bagi menyiapkan projek yang terbengkalai, secara berfasa.
“Fasa pertama membabitkan 110 rumah dan fasa kedua ialah 190 rumah. Fasa pertama dijadualkan siap pada suku pertama tahun depan, manakala fasa kedua akan diteruskan selepas keseluruhan 110 unit rumah fasa pertama habis dijual.
“Pembiayaan bagi fasa kedua adalah daripada hasil jualan fasa pertama,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pas-Kemaman Che Alias Hamid mengenai perincian status terkini rumah PGBF yang terbengkalai di FELDA Kerteh 5, Kemaman.
Mustapa berkata, tumpuan FELDA ketika ini adalah menyiapkan 20 tapak projek yang mengandungi 4,794 unit dengan kemajuan kerja melebihi 70 peratus.
“Untuk makluman, daripada 8,314 rumah di atas 38 tapak projek yang dirancang, sebanyak 2,358 rumah siap dibina. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,603 rumah sudah diserahkan kunci kepada peserta,” katanya.