24 OGOS: Sayap baharu yang bakal diwujudkan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi membolehkan ahli bersekutu bukan bumiputera memegang jawatan dalam parti tidak akan menggugat kedudukannya dalam Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setiap langkah yang dilakukan pasti mengambil kira kepentingan bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Tidak (menggugat kedudukan dalam MN). Kita ada ahli-ahli bersekutu. Jadi, ahli bersekutu itu boleh menjadi ahli (penuh) kita.
“Bagaimanapun, apa yang penting kita menjunjung perlembagaan sedia ada. Kalau kita nak tukar apa pun, kita kena pastikan bahawa yang kita buat ini demi kepentingan bersama dalam pembentukan kerajaan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Semarak Bersatu Melayu Merdeka di Kulai, malam tadi.
Kelmarin, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, parti berkenaan akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu bukan bumiputera memegang jawatan dalam parti.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk melihat perkara tersebut dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU,
Menurut Hamzah, pihaknya dalam masa sama sedang giat menambah bilangan ahli parti dengan sasaran sejuta orang dalam tempoh enam bulan ini.
Beliau berkata, semua ketua bahagian juga sudah diminta untuk menambah jumlah keahlian di bahagian masing-masing.
“Saya merasakan dalam seminggu dua ini sudah ada pertambahan lebih kurang 200,000 (ahli) lagi. Itu menjadikan (jumlah ahli) kita hampir kepada 700,000.
“Insya-Allah angka sejuta itu boleh kita capai,” katanya.