24 OGOS: Kluster Tawar di Kedah yang menjadi kluster aktif COVID-19 terbesar dengan 65 kes mencatatkan sifar jangkitan hari ini.
Walau bagaimanapun, Sarawak kembali mencatatkan kes tempatan COVID-19 dengan lima kes termasuk dua jangkitan melibatkan bukan warganegara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya terdapat tujuh kes baru dilaporkan termasuk dua kes import.
Beliau berkata, kesemua jangkitan baru yang dilaporkan setakat tengah hari ini melibatkan negeri Sarawak dengan tiga daripadanya bukan warganegara.
Katanya, tiga kes dikesan setelah saringan di tempat kerja manakala masing-masing satu kes melibatkan saringan sebelum bersalin dan satu lagi kes ujian sebelum pulang ke negara asal.
“Mereka yang disahkan positif telah ditempatkan di Hospital Umum Sarawak.
“Bagi kes import pula, kedua-duanya melibatkan warganegara Malaysia. Dua kes import tersebut adalah dari negara Filipina dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 184 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, walaupun kluster Tawar tidak melaporkan kes baru hari ini, namun saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan.
Katanya, sehingga 24 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini.
“Terdapat 471 masih menunggu keputusan ujian,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID