25 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengemukakan kertas cadangan penyelarasan gaji Pegawai Perubatan Kontrak gred UD41 ke UD43 sudah disediakan dan akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu perlu berikutan pegawai perubatan kontrak ketika ini menjalankan tugas sama tetapi mendapat gaji berbeza, berbanding lantikan tetap.
Menurut beliau, cadangan berkenaan bakal menyaksikan pegawai perubatan kontrak menerima gaji hampir sama dengan lantikan tetap.
Katanya, kementerian ketika ini mencadangkan supaya tempoh kontrak lebih panjang, sekali gus peluang lebih baik bagi pegawai perubatan kontrak mengambil laluan kepakaran setara.
“Bagi mereka (pegawai perubatan kontrak) yang kita naikkan gaji ke (gred) UD43 ialah pegawai yang sentiasa patuh dan bersedia untuk terus kekal dalam kementerian.
“Pegawai Perubatan Kontrak gred UD41 prinsipnya ialah upah mengikut kerja dan memikul beban tugas setara dengan lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke gred UD44. Begitu juga dengan farmasi dan pergigian.
“Ini sebenarnya kita laksanakan supaya perancangan untuk tambah baik laluan kerjaya dapat memelihara keharmonian di tempat kerja bagi pekerja tetap dan kontrak bagi meningkatkan motivasi pegawai semasa bertugas,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mahu tahu mengapa penyelarasan gred pegawai perubatan kontrak masih belum dilaksanakan.