25 OGOS: Dewan Rakyat hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang bersifat menyokong pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi.
RUU COVID-19 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, pada 12 Ogos lalu itu, diluluskan menerusi undian suara.
Undang-undang baharu berkenaan diluluskan tanpa sebarang pindaan, selepas kelulusan bacaan ketiga dan disokong oleh Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Perdagangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, ketika mengulung perbahasan, Takiyuddin menjelaskan kerajaan mengambil masa untuk membentangkan Rang COVID-19 kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek.
Ahli Parlimen PAS Kota Bharu itu berkata tujuan utama kerajaan mengubal RUU berkenaan adalah sebagai satu langkah yang bersifat menyokong pakej rangsangan dan inisiatif pemulihan ekonomi yang diumumkan, sebelum ini.
Katanya, ini bermakna RUU berkenaan bukan satu-satunya langkah diambil kerajaan bagi mengatasi masalah dihadapi oleh rakyat bukan hanya dari segi kesihatan dan keselamatan sahaja tetapi dalam aspek ekonomi.
“Saya juga ada menyebut mengenai sebelum RUU dibawa ianya banyak diselesai menerusi saluran undang-undang berkaitan pindaan subsekyen, pelbagai perintah sudah dibuat dan diselesaikan secara pentadbiran.
“Kerajaan juga sudah membuat pindaan terhadap 58 perkara yang membabitkan kepentingan rakyat termasuklah pengecualian setem, cukai pendapatan, peremitan fee sebanyak 25 peratus dan sebagainya.
“Daripada 58 perintah dan peraturan di pinda 24 daripadanya adalah berkaitan dengan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA,” katanya.
Beliau berkata, persoalan sama ada RUU itu ‘lebih baik ada daripada tiada’ atau ‘terlewat’ adalah tidak berbangkit kerana isu yang dihadapi rentetan wabak COVID-19 ditangani oleh kerajaan menerusi pakej rangsangan ekonomi.
“Saya mahu menekankan Kerajaan sudah mengambil langkah untuk menyiapkan RUU ini sejak bulan April lagi dan Mei selepas kita menghadapi pandemik ini.
“Namun demikian untuk menjadikan draf RUU ini menjadi undang-undang atau akta yang efektif maka kita perlu mengadakan segala perancangan, perbincangan, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan terkesan.
“Oleh kerana itu kita sudah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk semua agensi, kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), kementerian, masyarakat sivil, pihak swasta, Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI