25 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan membincangkan tentang jawatan yang akan diberi kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan parti Oktober ini.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan parti untuk melantik mana-mana individu menyandang jawatan Naib Presiden pada masa ini.
“Mengikut Perlembagaan tidak ada peruntukan untuk sesiapa dilantik memegang jawatan sebagai naib presiden,” katanya pada sidang media di Penjara Kajang, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan, soal jawatan Mohamed Azmin tidak pernah dibincangkan sebelum ini dan setiap perkara berkaitan dengan parti akan diperhalusi dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Hamzah menambah, beberapa perkara telah dibincang dalam mesyuarat MPT berhubung bab-bab tertentu berkaitan kemasukan ahli dalam BERSATU.
Menurut beliau, Tan Dr Sri Rais Yatim dilantik mempengerusikan jawatankuasa yang akan melihat langkah perundangan yang wajar diambil dengan sebaik mungkin.
Hamzah memberitahu, hasil keputusan yang diperoleh dari jawatankuasa berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat dan Perhimpunan Agung BERSATU.
“Jadi tak timbullah kalau ada orang yang boleh dilantik Naib Presiden buat masa ini,” ujarnya.