25 OGOS: Pesawat tempur dan kereta kebal rejim Zionis Israel yang berpangkalan di sempadan timur Gaza mengebom tiga sasaran di Khan Yunis semalam.
Memetik laporan Palestinian Information Center, sumber memberitahu, pesawat-pesawat tempur Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah tanah pertanian di timur bandar Khan Yunis.
Pada masa yang sama, kereta kebal Israel berhampiran pagar sempadan membedil dua pangkalan pejuang pembebasan Palestin masing-masing di utara dan selatan Khan Yunis.
Tiada kecederaan dilaporan dalam serangan tersebut namun bangunan serta rumah di kawasan berhampiran rosak teruk.
Tentera rejim Zionis Israel mendakwa mereka melancarkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap belon-belon api yang dilancarkan dari arah Gaza ke kawasan-kawasan penempatan haram Yahudi kelmarin.