25 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pelan tindakan secara holistik disegerakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah di bandar seperti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya mereka lebih berdaya maju.
Perdana Menteri yang meninjau sendiri kehidupan di PPR Desa Rejang di Setapak hari ini berkata, mereka adalah kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan di bandar.
Sehubungan itu, katanya, keperluan langkah proaktif bagi membantu golongan terlibat telah dibangkitkan beliau semasa pramesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) tengah hari tadi.
“Kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan ini.
“Saya akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu. Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran menerusi akaun Facebook beliau hari ini.
Dalam tinjauan ke PPR itu, Muhyiddin mengakui bangga kerana ramai rakyat Malaysia yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang lebih baik dengan ada di antara mereka melakukan dua atau tiga kerja bagi menambah pendapatan keluarga.
Katanya, ada yang memandu teksi dan Grab selain ada yang menghantar makanan dan membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka.
“Saya juga berkesempatan singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ. Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka.
“Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.
“Kebanyakan mereka membuat bisnes kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui,” jelasnya.
Tambah Perdana Menteri, sebenarnya banyak inisiatif yang telah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan ini.
Bagaimanapun katanya, setelah mendengar luahan mereka, beliau percaya banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta agensi-agensi kerajaan dalam memastikan golongan ini terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.
“Antaranya dengan menambah baik pusat-pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam lawatan tersebut beliau sempat menziarah penghuni tiga unit PPR di bawah seliaan JKM iaitu dua orang warga emas berusia 78 tahun, Chan Kam dan B. N Danalachimi serta pasangan suami isteri OKU, Rosali Md Nasid dan Artinie Besah.
Katanya, beliau kagum dengan ketabahan dan kegigihan Rosali menyara isteri dan dua anaknya yang mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit biar pun cacat kedua-dua tangan dan menggunakan kaki kanan palsu.
“Beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC). Pada pertemuan tersebut, Encik Rosali menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga. Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan Kerajaan. Namun setakat ini beliau masih belum mendapat apa-apa bantuan bagi mengembangkan perniagaan beliau.
“Saya telah meminta pihak JKM agar dapat membantu beliau. Saya juga berkesempatan bertemu dengan Puan Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU dan Puan Danalachimi yang tinggal bersendirian.
“Saya diberitau mereka ini tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Mereka juga dibantu oleh sukarelawan yang datang seminggu sekali membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, beliau juga telah diberitahu terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi-agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan.
“Syabas dan terima kasih. Kedua-dua warga emas itu bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT). Anak Puan Chan Kam juga menerima Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB),” katanya. – Oleh M. HERMAN HAMID