25 OGOS: Kerajaan masih belum mengawal selia perkhidmatan e-hailing dan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal yang dikenali sebagai runner.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ini menyebabkan dua perkhidmatan ini tidak tertakluk di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020.
“Untuk maklumat Yang Berhormat Jelebu, masa ini kerajaan masih belum kawal selia industri perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal seperti disebut sebagai runner atau perkhidmatan e hailing.
“Oleh yang demikian, mereka ini tidak tertakluk pada RUU ini,” katanya ketika penggulunggan (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong memberi jaminan setakat ini RUU ini hanya tertakluk kepada pengendali lesen yang tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Perdagangan 1987 yang dilakukan pengubasuaian agar sesuai dengan RUU tersebut.
“Pengubahsuaian Pengangkutan Awam Darat 2010 melibatkan dua seksyen iaitu Seksyen 21 dan 56 di mana seksyen 21 melibatkan perubahan sementara penggunaan kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan pelancongan dan Seksyen 56 memperuntukan perubahan sementara penggunaan kenderaan barangan.
“Pengubahsuaian Akta Lembaga Perlesenan Perdagagangan 1987 akan melibatkan Seksyen 23 dan 24. Seksyen 24 memperuntukan pertukaran sementara penggunaan kenderaan perkhidmatan awam manakala seksyen 24 melibatkan pertukaran kenderaan C atau A,”katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menambah, pengendali berlesen yang buat permohonan hanya dibenarkan menyediakan satu jenis perkhidmatan dalam satu masa sahaja
“Dalam erti kata lain mereka tidak dibenarkan bawa penumpang dan barangan dalam satu masa atas dasar keselamatan dan kebajikan pengguna dan pembeli. Mengenai persoalan berhubung status pendaftaran kenderaan, kod jenis kegunaan dalam rekod daftar JPJ tidak akan diubah selari prinsip RUU yang bersifat sementara.
“Hanya permit kenderaan yang dikeluarkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan berubah secara sementara bagi membolehkan pengendali sedia ada menyediakan perkhidmatan berbeza dari permit asal,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH