25 OGOS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) bagi menaikkan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000.
Pindaan itu antara lain menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan dan isu semasa berkaitan insolvensi.
Pindaan RUU itu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan pada 12 Ogos lalu, diluluskan menerusi undian suara.
Undang-undang baharu berkenaan diluluskan tanpa sebarang pindaan, selepas kelulusan bacaan ketiga dan disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Takiyuddin ketika menggulung RUU berkenaan berkata, ia berikutan data di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan individu berusia 35 tahun ke bawah adalah golongan paling tinggi terjejas.
Turut diluluskan ialah pindaan Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534) bagi membolehkan kesan retrospektif kepada orang muflis bagi tahun sebelum 2017.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengkaji undang-undang berkaitan muflis melalui Akta A1534 yang berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu.
“Pindaan Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) menaikkan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan, daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan dan isu semasa berkaitan insolvensi.
“Akta ini juga memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 33C iaitu pelepasan automatik yang mana tempoh muflis ditadbir selama tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal orang muflis dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melayakkan mereka dilepaskan secara automatik.
“Sebagai contoh, amalan di Hong Kong mengambil masa empat tahun, tiga tahun di Thailand, Australia dan New Zealand.
“Orang muflis dalam memohon Pelepasan Automatik ini hendaklah mematuhi syarat digariskan dalam Akta 360,” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu dapat membantu dan memudahkan orang muflis untuk memahami dan mematuhi arahan berdasarkan undang-undang ditetapkan.
“Kunci utama seseorang yang muflis supaya statusnya tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama penuh dan mematuhi arahan MdI,” katanya.