25 OGOS: Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman petang esok.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah.
“Insya-Allah, Khairuddin akan dipanggil petang esok,” katanya ringkas seperti dipetik dari portal BH Online malam ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.
Khairuddin sebelum ini dikompaun RM1,000 melibatkan kesalahan pelanggaran perintah kuarantin untuk indvidu yang pulang dari luar negara.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kemudian memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan menyumbangkan empat bulan gaji kepada Tabung Bantuan COVID-19.