25 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi perhatian serius kepada kesan dihadapi usahawan luar bandar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19, mulai 18 Mac 2020.
Berikutan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kementerian menggalakkan usahawan di luar bandar menggunakan platform dalam talian atau online untuk memasar dan menjual produk keluaran masing-masing.
Beliau berkata kementerian juga memberikan sokongan dan menyampaikan maklumat kepada usahawan bagi membolehkan mereka menerusi kaedah baharu yang dilaksanakan dalam menghadapi penularan COVID-19.
“Kementerian juga membantu usahawan di luar bandar dengan meningkatkan pemasaran produk secara dalam talian,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff menjawab soalan Ahli Parlimen BERSATU Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris yang mahu menteri berkenaan menyatakan usaha KPLB bagi membantu usahawan di luar bandar yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Zakaria juga meminta Dr Abdul Lattif menjelaskan apakah langkah diambil KPLB bagi mempromosikan produk dihasilkan usahawan luar bandar secara atas talian. – Oleh HAIKA KHAZI