26 OGOS: Polis Kuala Lumpur telah mengambil tindakan ke atas anak seorang kenamaan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila didapati berada di sebuah pub selepas waktu yang dibenarkan.
Dalam serbuan pada jam 1.20 pagi Ahad lalu itu, seramai 29 pengunjung premis berkenaan yang terletak di Taman Tun Dr Ismail termasuk anak seorang kenamaan ditahan polis kerana kesalahan ingkar PKPP.
Ketuanya, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya terkesan isu yang ditularkan di media sosial berkaitan tangkapan anak seorang kenamaan yang didakwa telah melanggar PKPP tetapi terlepas daripada tindakan pihak polis.
Tegasnya, dakwaan layanan dwi standard ke atas anak kenamaan tersebut adalah tidak benar kerana mereka tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuklah anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP.
“Kesemua pengunjung premis berkenaan yang ditahan dalam serbuan pada pukul 1.20 pagi itu telah dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan (iaitu kompaun RM1,000),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Mazlan, kes tersebut melibatkan sebuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail yang dilakukan pada jam 1.20 pagi Ahad lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihak polis telah menahan 20 lelaki dan sembilan wanita warganegara Malaysia yang dipercayai pengunjung premis berkenaan kerana telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh PKPP.
“Kesemua 29 orang pengunjung pub warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,” ujarnya.
Tambah beliau, turut ditahan seorang lelaki India berumur 37 tahun dipercayai merupakan pengurus premis, seorang lelaki warganegara Bangladesh dan tiga wanita warganegara Filipina yang disyaki merupakan pekerja di premis berkenaan.
Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati premis tersebut dibuka tanpa lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warganegara asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(no.7) 2020.
“Keempat-empat suspek warganegara asing yang berumur dalam lingkungan 33 hingga 52 tahun ditahan reman selama 14 hari bermula pada 22 Ogos 2020 sehingga 4 September 2020 bagi siasatan lanjut,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID