26 OGOS: Kerajaan disyorkan mengambil golongan muda yang menganggur menjadi sebahagian daripada anggota sukarelawan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).
Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata beliau percaya golongan muda mampu membantu kerajaan menguatkuasakan undang-undang berkenaan sekiranya mereka diberikan pendidikan, bimbingan dan latihan mencukupi oleh JPJ.
Beliau yakin perkara itu mampu dilaksanakan berdasarkan pengalamannya membimbing 30,000 anak muda yang dipanggil ‘mat rempit’ pada 2007.
“Saya panggil, duduk dan bincang dengan mereka kerana masalah utama mereka adalah isu sosial dan tidak diberikan ruang secukupnya serta peluang kedua kepada mereka. Untuk membuktikan mereka mampu berubah dan anak muda boleh di bawa ke tengah sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi HRDF yang mengeluarkan dana, memberikan peluang kedua mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sijil dan diploma bidang teknikal dan vokasional, automotif, kulinari dan pelatih separa perubatan atau paramedik.
“Saya juga membawa 50 orang anak muda ke Kutub Utara untuk melakukan terjunan di Kutub Utara sempena Kemerdekaan Malaysia ke-50,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Berikutan itu, Abdul Azeez melahirkan keyakinan bahawa anak muda mampu membantu pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan.
“Kalau PDRM ada pasukan polis sukarela kenapa kita tidak gunakan anak muda yang menganggur sebagai anggota penguat kuasa JPJ sukarela.
“Kementerian juga perlu memberikan latihan secukupnya kepada mereka termasuk memiliki lesen memandu kenderaan berat bagi membantu pihak berkuasa memandu lori yang apabila ada kes pemandu yang memandu secara cuai dan berbahaya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI