26 OGOS: Tunjuk perasaan bagi meminta keadilan dalam isu perkauman di Kenosha, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) bertukar menjadi ganas sehingga menyebabkan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata.
Memetik laporan AFP, tunjuk perasaan yang memasuki hari kedua kelmarin dianjurkan berikutan kemarahan orang ramai selepas rakaman video seorang lelaki kulit hitam, Jacob Blake, 29, ditembak beberapa kali oleh anggota polis tular.
Kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu turut disaksikan oleh anak-anak Blake yang masih kecil.
Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Kenosha mulai jam 8 malam kelmarin, manakala polis menggunakan gas pemedih mata selepas ratusan penunjuk perasaan bertindak ganas serta melontar botol air dan meletupkan bunga api.
Blake dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas ditembak dan dirawat di hospital di Milwaukee
Sementara itu, media tempatan melaporkan, keluarga Blake memaklumkan bahawa dia sudah menjalani pembedahan dan keadaannya semakin stabil.
Sementara itu, Gabenor Wisconsin, Tony Evers berkata, 125 anggota Pengawal Kebangsaan diarahkan untuk memantau di sekitar bandar itu.
Rakaman insiden tembakan membabitkan Blake dan kekurangan penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian itu dikatakan antara punca orang ramai merusuh.
Selain itu, mereka masih belum lupa insiden kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, ketika dalam tahanan polis di Minneapolis, tiga bulan lalu.