26 OGOS: Dewan Rakyat hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang bersifat menyediakan satu persekitaran pemanduan dan peredaran lalu lintas yang seragam, selamat dan efisien atas jalan raya.
RUU Pengangkutan Jalan yang dibentangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong diluluskan menerusi undian suara dan undang-undang baharu berkenaan diluluskan tanpa sebarang pindaan.
Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, cadangan pindaan itu juga untuk menambah baik Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang berkaitan dengan kesalahan memandu tidak mematuhi peraturan jalan raya khususnya pemandu mabuk sama ada menyebabkan kematian dan kecederaan.
Menurutnya, pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu merupakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran supaya orang ramai mematuhi semua peraturan jalan raya, seterusnya meningkatkan tahap keselamatan lalu lintas.
“Isu kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah merupakan satu perkara yang amat dipandang serius oleh Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan. Seperti umum mengetahui, kebelakangan ini, kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk semakin kerap berlaku dan dilaporkan di dalam media massa.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan serius dan secara holistik, ia akan membawa kesan yang amat negatif kepada orang ramai serta pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Impak sesuatu kemalangan itu, terutamanya yang menyebabkan kecedaraan kekal atau kematian adalah amat buruk ke atas ahli keluarga atau waris mangsa yang terlibat,”katanya
Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu pindaan-pindaan yang dicadangkan adalah amat penting untuk menjayakan usaha-usaha Kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan menjamin kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
“Pindaan yang dicadangkan juga amat penting di atas keperluan-keperluan semasa terutamanya dalam mendidik dan mengubah sikap semua pengguna di atas jalan raya.
“Ia akan menyumbang kepada melengkapkan keseluruhan strategi Kementerian dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH