Mangsa keganasan rumah tangga jangan berdiam diri
26 OGOS: Mangsa keganasan rumah tangga sebenarnya dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 (Akta 521) yang bertujuan melindungi wanita daripada penjenayah, bukan untuk meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ramai wanita yang salah tanggapan menyebabkan golongan itu berdiam diri apabila didera suami.
Menurut beliau, akta tersebut memperuntukkan tindakan perlindungan terhadap mangsa sama ada melalui Perintah Perlindungan Kecemasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi kes melibatkan keganasan berbentuk fizikal.
“Selain itu, mangsa juga boleh mendapatkan perlindungan melalui Perintah Perlindungan Sementara dan Perintah Perlindungan yang dikeluarkan mahkamah. Bagi memastikan keselamatan mangsa, JKM menyediakan tempat selamat kepada mangsa dan pada masa yang sama bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan untuk menempatkan mangsa di rumah-rumah perlindungan.
“Antara perkhidmatan lain yang turut diberikan kepada mangsa adalah khidmat kaunseling yang boleh diakses sama ada secara bersemuka ataupun secara atas talian dengan menghubungi Talian Kasih 15999.
“Kementerian juga menumpukan kepada tindakan berbentuk advokasi dan pesanan khidmat masyarakat bagi mencegah perlakukan keganasan rumah tangga dan ini turut dilakukan melalui kerjasama rapat dengan badan-badan bukan kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berhubung statistik penderaan terhadap isteri dan tindakan kementerian untuk menanganinya.
Dalam pada itu, Siti Zailah memandang dan komitmen dalam menangani isu ini yang dibuktikan pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang dianggotai dari pelbagai agensi kerajaan dan juga badan bukan Kerajaan.
Beliau menambah, menerusi Jawatankuasa itu, Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga ditambahbaik agar dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh penyedia perkhidmatan tetapi mampu menjadi rujukan buat mangsa untuk mengetahui hak-hak mereka.
“Ini akan memudahkan mereka untuk mendapatkan akses perlindungan. Oleh itu, Pelan Tindakan Sosial Islam juga akan dijadikan rujukan dalam menambahbaik Garis Panduan berkenaan dan juga dalam perancangan dan pelaksaan program dan aktiviti berkaitan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH