26 OGOS: Kerajaan Negeri Pahang akan melakukan pemutihan tanah-tanah haram di seluruh negeri demi memacu kegemilangan Pahang khususnya dari sudut pembangunan ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, tanah haram itu bukan sahaja yang membabitkan pertanian, malah perindustrian, perladangan, perumahan termasuk gerai-gerai haram.
Katanya, langkah itu perlu demi memastikan situasi menang-menang dapat diperolehi bukan sahaja dalam kalangan peneroka tanah malah apa yang penting hasil kepada kerajaan negeri.
“Saya berikan contoh, sebelum ini 30 tahun tanah kerajaan negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit, dalam tempoh berkenaan, satu sen pun tidak bayar kepada kerajaan negeri.
“Itu merupakan satu ketidakadilan dan atas faktor itulah kerajaan negeri mencari penyelesaian untuk ‘menghalalkan’ atau ‘memutihkan’ tanah-tanah yang diteroka secara haram di seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyaaan media hari ini.
Kata Mohd. Sharkar, menerusi pendekatan itu, kerajaan negeri tidak merampas atau mengambil alih tanah, ia masih diusahakan oleh pihak yang menerokanya dan ini perlu difahami dengan jelas kerana pasti ada pihak akan mempolitikkannya.
Menurutnya, apa kerajaan negeri akan lakukan seperti meletakkan beberapa syarat seperti pihak terlibat yang menceroboh perlu membayar denda, kemudian meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan.
“Saya yakin dan percaya, DAP pastinya akan menjadi api dalam sekam membabitkan isu ini. Mereka pastinya akan menjadi pejuang kononnya membela nasib rakyat, kita lihat sahaja dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng sebelum ini, DAP menjadi pejuang dalam isu itu namun selepas berkuasa senyap.
“Kini, DAP mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian di Raub pula. DAP ini hanya hidup bila ada isu sahaja,” tegas Exco kerajaan negeri Pahang itu.
Jelas Mohd Sharkar, apa yang dilakukan oleh kerajaan Pahang ini adalah rutin dalam pentadbiran dan merupakan hak kerajaan negeri yang bukan dirampas atau diambil balik tetapi dilakukan penyelesaian yang memberikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.
“Salahkah kerajaan Pahang berbuat demikian? Banyak lagi rakyat Pahang tidak mempunyai tanah,” katanya.
Tegas Mohd. Sharkar, penerokaan tanah secara haram di negeri ini bukan perkara baharu tetapi telah sekian lama berlaku sekali gus mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil kerajaan negeri.
“Enggan melakukan kesilapan lagi, kerajaan negeri Pahang yang kini dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencari penyelesaian terbaik bagi ‘menghalalkan’ tanah-tanah haram yang diteroka di seluruh negeri ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID