26 OGOS: Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berharap agar prosiding mahkamah yang dijalankan menerusi sidang video atau komunikasi elektronik dapat dipastikan berlangsung dengan penuh teliti.
Shahidan berkata, ini perlu dilakukan agar tidak menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap keputusan mahkamah yang boleh memburukan institusi kehakiman di Malaysia.
Menurutnya, beliau berterima kasih dan bersetuju dengan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 namun prosiding mahkamah melalui siaran langsung perlu dibuat khusus untuk tempoh COVID-19 sahaja.
“Kalau keadaan sebenarnya adakah wajar atau tidak, ini perlu dikaji dengan teliti, kita tidak mahu persepsi itu menjadi hukuman dan tidak adil kepada mana-mana pihak.
“Jangan gunakan masa biasa. Kalau masa biasa kena pilih agar dapat memberi keadilan bukan mewujudkan persepsi kepada rakyat,” katanya ketika membahas usul RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Shahidan memberitahu capaian internet yang lemah dan kes ‘istimewa’ seperti masalah pendengaran juga merupakan antara kekangan yang boleh berlaku membuktikan prosiding mahkamah dalam negara dijalankan secara langsung tidak wajar dilakukan selepas COVID-19. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH