26 OGOS: Ahli Parlimen PH Seremban, Loke Siew Fook yang lantang membangkitkan isu pemimpin parti kerajaan tidak memakai topi keledar ketika berkempen akhirnya terdiam apabila Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendedahkan lebih 10 pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut dikesan melakukan kesalahan sama.
Siew Fook sebelum itu berkali-kali ketika mencelah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membentangkan usul RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 mahukan pemimpin-pemipin kerajaan yang dikatakan tidak memakai topi keledar diambil tindakan.
Namun, Abdul Azeez bangkit menegur Siew Fook kerana hanya menumpukan kepada kesalahan pemimpin parti lawan sedangkan hal tidak memakai topi keledar ketika berkempen di kampung-kampung sewaktu pilihan raya kecil (PRK) turut dilakukan pemimpin PH.
“Saya dapat lebih daripada 10 gambar pemimpin pembangkang termasuk Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan sebagainya. I send to you (Menteri Pengangkutan) untuk ambil tindakan.
“Kita tak minta ini rakyat yang hantar kepada kita. Jangan tuduh orang lain, kalau perkara ini dikorek sampai bila-bila tak akan selesai,” tegasnya ketika Ka Siong membentangkan usul RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ini menyebabkan wakil DAP itu terdiam sekali gus membolehkan Ka Siong menyambung pembentangan usulnya dengan tenang.
Terdahulu, Ka Siong turut menyeru agar semua Ahli Parlimen di negara ini memakai topi kaledar ketika turun padang berjumpa dengan rakyat yang pada masa sama memberi contoh terbaik kepada rakyat.
Menurutnya, beliau memberi jaminan tiada pemimpin dan Ahli-Ahli Parlimen yang akan terlepas jika pihaknya mempunyai bukti dan siasatan terperinci akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sekiranya Yang Berhormat nak kemukan bukti, saya akan minta JPJ jalankan siasatan mengikut prosedur ini tetapi notis 114 dikeluarkan bergantung pada bukti yang kukuh dan saya akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan tidak kira kerajaan atau pembangkang.
“Nasihat Menteri Pengangkutan minta sesiapa sahaja yang berkempen di PRK, PRN tunjukkan teladan yang baik, semua pakai topi keledar supaya orang kampung tahu dan mesej saya minta supaya kedua-dua pihak mematuhi undang-undang,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH