27 OGOS: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan tindakannya mengumumkan senarai projek-projek perolehan kerajaan secara runding terus sepanjang era kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibuat atas dasar mendokong ketelusan.
Sehubungan itu, beliau berkata, isu berkenaan tidak wajar untuk dipolitikkan.
Malah, kata beliau, isu seperti bila rundingan terbabit dimulakan adalah sesuatu yang boleh dijelaskan oleh sesiapa sahaja tetapi apa yang didedahkan semalam itulah faktanya apa yang berlaku ketika pentadbiran PH.
“Tiada salahnya melakukan rundingan terus bagi projek terbabit mengikut Seksyen 6 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972). Selain itu, terdapat dasar berkaitan yang membolehkan justifikasi bagi rundingan terus itu.
“Bagi saya, ini cuma fakta dan menggambarkan apa yang telah ditandatangani berdasarkan data (surat lantikan atau surat setuju terima (LOA) yang dimeterai) yang kita ada di Kementerian Kewangan (MoF), ini tidak sepatutnya dijadikan satu isu,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Dana Penjana Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai penuh 101 projek kerajaan yang diperoleh secara runding terus (RT) bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan ketika pentadbiran PH.
Menurut Tengku Zafrul, sebagai mewakili rakyat, beliau hanya menjawab persoalan yang diajukan kepadanya di persidangan Dewan Rakyat itu.
“Bagi saya (senarai tersebut) adalah fakta dan kita tidak bercakap (menyentuh) mengenai siapa yang berunding mengenainya dan sama ada ia dibuat mengikut terma LOA, namun ianya ditandatangani ketika pentadbiran PH,” tegasnya.