27 OGOS: Walaupun Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membayar RM29.9 juta kepada pemegang hak penyiaran Piala Dunia Rusia 2018, namun bagi bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perkara itu tidak sepatutnya dimasukkan dalam senarai perolehan rundingan terus.
Menurut Guan Eng, ini kerana pihak penaja telah membayar kepada Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) jumlah RM30 juta yang merupakan kos penyiaran sebahagian perlawanan bola sepak Piala Dunia.
“AirAsia dan Maxis (penaja) bayar RTM, RTM pula bayar kepada Sports Media & Distributor. Jadi kerajaan tidak menanggung sebarang bayaran.
“Jangan pula masukkan kontrak ini bila kerajaan tidak ada sebarang perbelanjaan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Tambah Guan Eng, rundingan terus tidak dapat dilakukan dalam perkara ini kerana syarikat tersebut memgang hak monopoli penyiaran Piala Dunia.
“Hak monopoli ini bukan diberi oleh kerajaan Malaysia tetapi oleh penganjur Piala Dunia.
“Itu kerajaan Malaysia tidak ada kawalan,” jelas Ahli Parlimen Bagan itu.
Dalam senarai pendedahan 101 projek rundingan terus era Pakatan Harapan (PH) semalam, ramai terkejut dengan bayaran RM29.9 juta oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk penyiaran sebahagian perlawanan Piala Dunia 2018.
Sedangkan Guan Eng dan bekas menteri KKMM, Gobind Singh Deo menyatakan tiada bayaran dibuat kerana mendapat dua penaja utama iaitu Maxis dan AirAsia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter miliknya turut membangkitkan persoalan tersebut yang berlegar di media sosial sejak malam tadi.
Sambil memuat naik tangkap layar kenyataan Guan Eng pada 3 Jun 2018 yang kerajaan tidak membayar satu sen pun untuk penyiaran Piala Dunia, Khairy berkata, hal ini perlu dijelaskan pihak terlibat.
“Ini soalan jujur sebab saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Mungkin wang tajaan itu diguna untuk membayar hak siaran tersebut melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Sebab itu ia disenarai sebagai perolehan kerajaan,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID