27 OGOS: Dua orang mati dan seorang cedera parah di Kenosha setelah tembakan dilepaskan di tengah-tengah himpunan penunjuk perasaan bagi membantah insiden lelaki kulit hitam berusia 29 tahun yang ditembak beberapa kali oleh anggota polis Wisconsin.
Ratusan penunjuk perasaan terus melakukan demonstrasi sejak Ahad bagi menuntut keadilan diskriminasi kaum yang akhirnya bertukar ganas termasuk perusuh membakar kenderaan, membaling botol air dan letupan bunga api bagi menuntut pembelaan terhadap Jacob Blake.
Dalam insiden semalam, penunjuk perasaan bertempur dengan pegawai polis dan anggota Pengawal Nasional Wisconsin selama beberapa jam di luar sebuah mahkamah di pusat bandar yang dikelilingi oleh kawat berduri dan dilindungi oleh kenderaan berperisai.
Setelah berulang kali memberi amaran kepada para penunjuk perasaan bahawa mereka melanggar perintah berkurung setakat jam 8 malam, polis akhirnya menyuraikan ratusan penunjuk perasaan itu dengan melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata.
Ketika orang ramai bersurai, ada yang menuju ke arah Sheridan Road, di mana lokasi sebuah kereta dibakar dalam demonstrasi ganas dua malam sebelumnya.
Para peniaga di situ kebanyakan mengawal premis mereka dengan menggunakan senjata api bagi mengelak dipecah masuk oleh penunjuk perasaan.
Ketika itu, terdengar tembakan berhampiran sebuah stesen minyak yang memaksa polis mendesak orang ramai segera beredar dari kawasan itu.
Jurucakap polis Wisconsin mengesahkan tembakan berkenaan yang menyebabkan dua kematian itu berlaku berdekatan sebuah stesen minyak.
“Kita masih melakukan siasatan lanjut berhubung insiden ini dengan mangsa belum dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Jacob Blake, meminta semua pihak bertenang dan bersabar selepas tunjuk perasaan bagi menuntut keadilan terhadap diskriminasi kaum bertukar ganas.
Julia Jackson berkata, peguamnya juga berkata hanya ‘keajaiban’ untuk anaknya boleh berjalan.
“Kita hanya perlu berdoa,” kata Jackson sambil berkata kejadian tunjuk perasaan bertukar ganas itu tidak menggambarkan kehendak anak dan keluarganya.