27 OGOS: Hasil perbandingan empat sampel virus Kluster Tawar dan tiga sampel Kluster PUI Sivagangga menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada klad yang sama.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah daripada sumber yang sama.
“Namun begitu, siasat lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, kes pertama bagi Kluster Tawar dilaporkan ke Pusat Persediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 12 Ogos 2020 dan Kluster Tawar diisytiharkan pada 13 Ogos 2020.
“Dalam tempoh 14 hari, sebanyak 72 kes positif telah dikesan bagi kluster ini dengan kadar positiviti adalah sebanyak 1.61 peratus sehingga melibatkan tiga generasi,” jelasnya.
Beliau memberitahu, sebanyak 29 kes dikesan bagi generasi pertama diikuti generasi kedua 23 kes dan generasi ketiga 20 kes.
“Mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain, pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan telah menjalankan kajian virologi terhadap Kluster Tawar.
“Sebanyak 14 sampel telah diambil bagi tujuan full genome sequencing dan sebanyak empat sampel berjaya mendapat virus untuk sequencing. Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G,” ujarnya.
Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham menyatakan, seramai 4,521 orang disaring dalam Kluster Tawar setakat jam 12 tengah hari tadi dan tiada kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 Kluster Tawar adalah sebanyak 73 kes.
Menurut beliau, daripada 3,983 orang yang disaring di Kedah, sebanyak 62 kes dikesan positif COVID-19 termasuk tiga kes sedang dirawat unit rawatan rapi (ICU).
“Sebanyak 3,453 individu didapati negatif dan 468 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media, hari in.
Di Pulau Pinang, seramai 527 orang disaring di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 termasuk dua kes yang dirawat di ICU manakala 516 individu didapati negatif.
Di Perak, kekal dengan 11 saringan di mana kesemuanya negatif dan tiada saringan baharu.
Dr Noor Hisham berkata, penilaian risiko bagi Kluster Tawar mendapati taburan kes positif COVID-19 tidak tertumpu di suatu lokaliti, penularan dilaporkan berlaku daripada kes asimptomatik, penularan telah berlaku ke generasi ketiga, virus D614G sama dengan virus Kluster Sivagangga, kawasan penempatan yang padat, banyak pergerakan penduduk dalam dan antara daerah dan liputan saringan penduduk yang masih rendah di mana kadar positiviti lebih satu peratus.
“Justeru, telah diputuskan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah berkuat kuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan dan melibatkan tiga zon di Aman Jaya iaitu Kenanga, Mawar dan Melur,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merupakan satu tindakan Kerajaan yang membolehkan aktiviti kesihatan awam dijalankan. Terutamanya pengesanan kes baharu di sesebuah lokasi berisiko tinggi yang dikesan mempunyai penularan jangkitan COVID-19. Masyarakat adalah diseru untuk memberikan kerjasama kepada barisan hadapan kerana matlamat akhir yang ingin dicapai oleh semua orang adalah menangani wabak COVID-19 dengan berkesan.