27 OGOS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menegaskan, dua projek rundingan terus yang diluluskan kepada kementeriannya semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah di luar pengetahuannya.
Zuraida berkata, justeru beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul.
“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran PH, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan (KPKT) menawarkan projek rundingan terus.
“Ingin saya tegaskan 2 projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat diluar pengetahuan saya.
“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek bernilai lebih RM6 bilion yang dilakukan menerusi rundingan terus ketika era PH.
KPKT yang diterajui Zuraida turut disenaraikan membuat dua perolehan menerusi rundingan terus.
Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan itu kerana bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini sentiasa menekankan tiada lagi perolehan kerajaan menerusi rundingan terus walaupun terdapat sebab tertentu dibenarkan berbuat demikian.