27 OGOS: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan anak perempuan dan menantunya antara 27 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab malam di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Beliau berkata, anak dan menantunya masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 mengikut kesalahan yang dilakukan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Memang benar anak dan menantu saya dibawa ke balai polis bersama 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar PKPP.
“Mengikut undang-undang berkaitan, mereka dikompaun RM1,000 dan semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya,” katanya dalam sidang media selepas program sepetang bersama Tun Mahathir Mohamad di Pusat Bandar Felda Besout 3, Slim River, Perak, hari ini.
Mukhriz menambah, anak dan menantunya wajar dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.
“Saya sudah pesan kepada semua ahli keluarga supaya tidak melanggar SOP ketika musim PKPP ini, memanglah kecewa kerana pelanggaran itu berlaku juga.
“Kita sudah beri teguran dan memang patutlah dia kena kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Mukhriz turut berterima kasih kepada pihak keselamatan khususnya PDRM Kuala Lumpur yang tegas dan mengambil tindakan secara adil dan saksama dalam pematuhan PKPP tanpa memilih kasih kepada mana-mana pihak.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anak kenamaan (VIP) antara pengunjung yang ditahan berada di premis yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.