27 OGOS: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2020 akan mengetengahkan pendekatan holistik dalam usaha menarik pengunjung di platform maya.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penganjuran MAHA turut memberi penekanan kepada enam fokus yang akan menggalakkan pembabitan pemain industri sektor pertanian.
Enam fokus itu merangkumi Agro Perdagangan, Agro Industri Makanan, Agro Belia, Agro Pelancongan, Agro Teknologi Maklumat dan Agro Kewangan.
“Pameran maya MAHA 2020 adalah platform direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam industri pertanian dan makanan secara dalam talian.
“Sama seperti ditawarkan pameran fizikal, platform MAHA 2020 versi maya juga mampu mengendalikan transaksi perniagaan, sama ada bagi pasaran domestik atau luar negara.
“Pelbagai aktiviti dalam talian seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video dan promosi produk pameran boleh dipaparkan secara langsung seolah-olah pengalaman mengunjungi acara pameran fizikal,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias yang mahu tahu sama ada kementerian dapat memberi keyakinan pemain industri pertanian untuk menyertai MAHA 2020 pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.