27 OGOS: Semua premis perniagaan diperngatkan hanya dibenarkan beroperasi setakat jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan ini meliputi semua termasuk kedai serbaneka walaupun lazimnya mereka beroperasi 24 jam sebelum pelaksanaan PKP.
Katanya, hal ini diperingatkan semula memandangkan terdapat laporan berhubung premis perniagaan yang beroperasi melepasi jam 12 tengah malam.
“Didapati ada premis yang beroperasi sehingga 24 jam seperti kedai serbaneka 24 jam. Saya tidak tahu kenapa mereka buka, mungkin dapat kebenaran dari PBT (pihak berkuasa tempatan).
“Saya tekankan sekali lagi bahawa semua premis perniagaan dibenarkan dibuka sehingga jam 12 tengah malam sahaja dan tidak lebih dari itu.
“Saya tahu ada kedai serbaneka beroperasi lebih masa apabila melihat klinik buka 24 jam dia pun sama nak buka 24 jam. Klinik adalah keperluan kerana sakit tak kira waktu. Tetapi kalau kedai serbaneka buka hanya untuk beli rokok, itu bukan barang keperluan yang membolehkan mereka buka sehingga 24 jam,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, mesyuarat khas hari ini menetapkan waktu operasi bagi premis perniagaan termasuk kedai serbaneka 24 jam hanya dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam.
Bagi klinik atau hospital swasta yang dibenarkan beroperasi 24 jam, beliau berharap segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera.
Isu premis perniagaan beroperasi selepas jam tengah malam turut berbangkit melibatkan premis di mana seorang anak kenamaan ditahan apabila pub berkenaan masih beroperasi ketika serbuan dilakukan pada jam 1.20 pagi.