28 OGOS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyediakan pelbagai insentif dan dana kepada sektor agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh peladang dan pekebun kecil di Melaka, terutamanya golongan B40.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antaranya melalui KPSM, Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40), Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), IPG dan Insentif Tanaman Kenaf Bagi Pengeluaran Batang dan Insentif Belian Batang Kenaf.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap kerjasama erat dicapai bersama kerajaan negeri Melaka untuk membantu menghebahkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan Pusat kepada pekebun kecil di Melaka.
“Dana dan insentif yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau mengulas tentang kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Ayer Keroh, semalam.
Mohd Khairuddin menambah, Melaka merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan projek rintis aplikasi telefon pintar RRIMniaga mulai Jun 2018 dengan melibatkan tiga pelesen.
Menurut beliau, setakat Julai lalu, sebanyak 47 peniaga getah telah mengguna pakai aplikasi tersebut.
“Ia memberi manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada 2,690 pekebun kecil yang merupakan pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G),” katanya.
Mohd Khairuddin memberitahu, secara keseluruhan, sektor agrikomoditi di Melaka meliputi kawasan tanaman sawit seluas 57,340 hektar, getah 14,115 hektar, koko 18 hektar, lada 10 hektar dan kenaf 13 hektar dengan penglibatan seramai 12,412 pekebun kecil.
Menurut beliau, negeri berkenaan mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 110,509 tan, getah 15,400 tan, lada 48 tan dan kenaf 121 tan dengan nilai sumbangan sekitar RM300 juta sepanjang tahun 2019.
“Bagi sektor kayu-kayan, kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan Malacensis Sdn Bhd. dalam membangunkan ladang karas di Empangan Jus, Jasin, Melaka sedang giat dijalankan bagi menilai kaedah inokulasi terbaik supaya penanam pokok karas dapat memaksimumkan pendapatan melalui penghasilan gaharu yang terbaik.
“Untuk sektor koko, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama kerajaan negeri Melaka akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bandar Coklat Melaka menerusi pembangunan industri hiliran koko berasaskan agropelancongan dan dengan mengeluarkan produk-produk koko beridentitikan Melaka,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN