28 OGOS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa terlibat dalam rundingan terus dua projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, PH cuba memutarbelitkan fakta berhubung rundingan terus projek stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin bernilai RM170,294,400 di bawah KPKT.
Menurut beliau, Guan Eng yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghafar, yang merupakan ‘penyokong kuat’ PH pada 26 November 2018.
Katanya, dalam pertemuan itu, Guan Eng bukan sahaja membincangkan mengenai rundingan projek ini tetapi bersetuju untuk mengurangkan kos yuran pemberian 10 peratus lebih rendah daripada kos asal, kononnya untuk menjimatkan wang untuk kerajaan.
“Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk mendekati KPKT bagi membentangkan cadangan rasmi.
“Selepas itu, projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng melalui surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, Zuraida menegaskan, dua projek rundingan terus yang diluluskan kepada kementeriannya semasa pentadbiran PH adalah di luar pengetahuannya justeru, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul.
Beliau menambah, projek perisian Century bernilai RM501,206.37 melibatkan lima kementerian yang berasingan turut diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Sehubungan itu, Zuraida mengingatkan pemimpin-pemimpin PH agar menyemak fakta dengan teliti terlebih dahulu agar mereka tidak mengelirukan orang ramai. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH