28 OGOS: PAS mungkin mengehadkan hanya kira-kira 300 perwakilan, pemerhati dan pemimpin hadir ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-66 yang diadakan dalam suasana ringkas pada 13 September ini berikutan negara masih dilanda penularan wabak COVID-19.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya difahamkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan walaupun berakhir pada 31 Ogos ini.
Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana terdapat kemungkinan besar Perintah Kawalan Pergeràkan Pemulihan (PKPP) akan disambung berdasarkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan.
“PKP perlu patuhi dan kehendak Perlembagaan pun kita kena ikut juga, jadi ambil jalan tengah iaitu kehadiran perwakilan kurang dari kebiasaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, jika dihitung perwakilan yang hadir sebelum ini mencecah seramai 1,200 orang seluruh negara, namun berbeza bagi tahun ini.
Beliau berkata, pihak penganjur mengurangkan kehadiran perwakilan sehingga 300 orang kerana perwakilan negeri dibenarkan hanya seorang iaitu Yang Dipertua PAS kawasan.
“Berbeza Kelantan, kita berikan kebenaran sehingga empat perwakilan boleh hadir iaitu 56 orang dan muktamar ini diadakan sehari sahaja pagi sampai petang.
“Bagi negeri lain muktamar ini turut disiarkan secara dalam talian untuk diikuti perwakilan di negeri masing-masing yang ditetapkan lokasinya,” jelas beliau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, gerai jualan sama sekali tidak dibenarkan kerana patuh kepada peraturan ditetapkan kerajaan.
Katanya muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) itu juga tidak menjemput pemerhati, namun tetamu diuruskan PAS Pusat.