28 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk menggugurkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam perbicaraan kes mereka.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati tiada bukti menunjukkan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas telah tersalah di sisi undang-undang dalam pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan.
Memetik laporan Bernama, hakim tu juga mendapati pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan menurut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) adalah sah di sisi undang-undang.
Mahkamah juga memerintahkan Najib dan Muhammad Shafee membayar kos RM10,000 setiap seorang kepada responden.
Pada Disember 2018, bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai TPR kanan dalam kesnya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad.
Selain mewakili Najib, Muhammad Shafee turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta, yang belum bermula.
Najib dan Muhammad Shafee menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya sebagai responden pertama manakala Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden kedua dan ketiga.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) CPC.
Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.
Permohonan mereka juga membabitkan perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.