28 OGOS: Polis mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali malam tadi berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, Mohd Khairuddin memberi keterangan di Bukit Aman pada jam 8 malam.
“Sesi mengambil keterangan (di bangunan Parlimen) kelmarin tidak dibuat, sebaliknya polis ambil keterangan beliau (Mohd Khairuddin) diambil pukul 8 malam tadi,” katanya kepada Bernama.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dipercayai masuk ke Bukit Aman menggunakan kenderaan lain bagi mengelak ditemu bual pengamal media, yang menunggu kehadiran beliau.
Setakat jam 10 malam tadi, Mohd Khairuddin dipercayai masih memberi keterangan di Bukit Aman.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.
Kementerian Kesihatan sebelum ini memberitahu, Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lepas, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah, setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.