28 OGOS: Pas terbuka dalam soal logo termasuk bersedia menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN) sekiranya calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada masalah buat Pas untuk berbuat demikian jika rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menggunakan logo BN.
“Kalau keputusan menggunakan simbol masing-masing, guna simbol masing-masing kerana saya difahamkan ada parti di Sabah yang nak buat simbolnya sendiri. Terpulang, kita tak ada masalah
“Kita nak guna simbol masing-masing pun boleh, kita terbuka. Nak guna simbol PN pun boleh tetapi belum ada tapi sudah ada cadangan.
“Jika kita guna lambang BN, ia bukanlah kali pertama Pas menggunakan lambang lain kerana kita pernah berbuat demikian pada 1974, ketika masih berada dalam BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan BN yang akan menggunakan lambang parti itu memandangkan pengundi sudah biasa dengannya seperti yang diumumkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah itu menjelaskan, biro politik dan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat sudah memaklumkan kepada parti-parti rakan komponen PN bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing.
Ketika ditanya mengenai dakwaan ada pemimpin dalam Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendakwa ahli PAS yang tegar tidak akan mengundi BN dan sebaliknya, kerana tidak boleh menerima di antara satu sama lain, Abdul Hadi mendakwa, AMANAH kini mencari talian hayat dengan membuat pelbagai kenyataan.
“Kalau tak buat kenyataan, orang ingat dia (Amanah) sudah tiada, jadi mereka buat apa sahaja kenyataan, kita tidak ada masalah…pengikut kita masih setia, Amanah yang dapat undi, sokongan daripada DAP dan hidup pun dokongan DAP
“Kalau kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS, mereka ada Dewan Penyokong DAP,” sinisnya.
Ketika ditanya sama ada Pas bersedia menerima kembali bekas ahlinya yang masuk Amanah, Abdul Hadi berkata, Pas sebuah parti yang terbuka dan terpulang kepada kepimpinan pusat yang akan melihat permohonan mereka.