29 OGOS: Anak Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ditahan dalam serbuan polis pada jam 1.20 pagi, hujung minggu lalu di sebuah pub yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tampil menjelaskan yang beliau berada di premis tersebut untuk meraikan hari jadi seorang sahabat.
Berada di Salute, TTDI, Meera Alyanna berkata, dia dan suami mengakui melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah menjelaskan kompaun RM1,000 kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka secara profesional.
Katanya, dalam seminggu ini beliau telah mengimbau peristiwa tersebut dan sejujurnya mengakui menyesal.
“Bukan sahaja kerana saya cuai melanggar larangan pergerakan selepas tengah malam, malah bersikap tidak bertanggungjawab di kala semua sedang diancam pandemik.
“Saya amat kesal kerana kecuaian itu telah menyusahkan keluarga dan rakan-rakan dan anda semua,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram kepada pengikut beliau.
Pada 26 Ogos lalu, Polis Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan seorang anak VIP ditahan kerana melanggar PKPP setelah satu serbuan dilakukan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, TTDI, Kuala Lumpur pada jam lebih kurang 1.20 pagi 22 Ogos lalu.
Dalam serbuan itu, 29 orang warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.
Sehari kemudian, Mukhriz mengakui anak dan menantunya telah ditahan polis dan dikenakan kompaun kerana melanggar PKPP apabila berada di sebuah pub melepasi jam 12 tengah malam.