29 OGOS: Pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan berkenaan akan dibentang pada sesi Parlimen, November ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, maklum balas pelbagai pihak terutama rakyat akan diambil kira sebelum jumlah kenaikan kompaun itu diputuskan.
Menurut beliau, perkara itu kemudian akan dibawa ke Kabinet bagi memuktamadkan kadar kompaun yang bersesuaian.
“Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang bersetuju supaya kompaun dinaikkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan adalah amat wajar.
“Kementerian Kesihatan menyambut baik persetujuan Perdana Menteri itu dan kita akan pinda Akta 342 bagi menaikkan nilai kompaun pada sidang Parlimen November ini.
“Bagaimanapun, kita mahu tahu apa pandangan rakyat mengenai langkah ini (naikkan kompaun) kerana pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini ada Ahli Parlimen meminta nilai kompaun (RM1,000) diturunkan kerana ia membebankan golongan tidak mampu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup muka kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor di Econsave Daiman Jaya, hari ini.
Dalam perutusan semalam, Muhyiddin bersetuju supaya kadar kompaun di bawah Akta 342 dinaikkan sekali atau dua kali ganda daripada jumlah RM1,000 sekarang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mencadangkan Akta 342 dipinda bagi menaikkan kompaun RM1,000 kepada RM10,000 bagi kesalahan melanggar SOP ditetapkan kerajaan terutama mengekang penularan COVID-19 ketika ini.