29 OGOS: Walaupun pelancongan antara sektor ekonomi terpenting bagi Thailand, namun negara itu masih belum bersedia untuk membuka pintu sempadan kepada pelawat asing berikutan ancaman penularan COVID-19 yang masih tinggi di peringkat global.
Malah Model Phuket yang diwujudkan untuk menyambut pelancong asing secara berperingkat tidak akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Jurucakap kerajaan Traisulee Traisoranakul berkata, sebaliknya rakyat Thailand digesa bercuti dalam negara untuk membantu merancakkan kembali ekonomi tempatan.
Menurut agensi berita Thailand (TNA), Model Phuket dirancang sebagai panduan dalam menyambut pelancong asing yang kini masih perlu dibincangkan dengan terperinci.
Banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuk kaedah penerimaan dan kategori pelawat serta langkah-langkah saringan untuk mengelakkan gelombang kedua penularan COVID-19, kata jurucakap itu.
“Ia memerlukan lebih banyak masa sebelum dapat dilaksanakan untuk menjamin apabila warga asing dibenarkan masuk mereka tidak akan menimbulkan risiko penularan kedua COVID-19,” ujarnya.
Katanya, buat masa ini pintu untuk pelancong asing masih belum dibuka.
Justeru itu, kerajaan mengajak rakyat Thailand membantu merangsang ekonomi dan mengagihkan pendapatan kepada penduduk setempat dengan melancong dalam negara.