30 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 84 individu kerana kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk 45 daripadanya dicekup ketika melakukan aktiviti di dalam pub dan kelab malam, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 55 individu dikenakan tindakan kompaun, manakala 27 lagi ditahan reman dan dua dijamin.
“Antara kesalahan ingkar PKP dikesan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam membabitkan 45 individu, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (10), premis beroperasi lebih masa (dua individu), premis beroperasi tanpa lesen (seorang), aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (tujuh individu), serta dua tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga menjalankan 61,303 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 4,798 Pasukan Pematuhan dengan 18,308 anggota melakukan pemantauan di 3,881 pasar raya; 4,996 restoran serta 1,090 penjaja; 1,818 kilang; 3,466 bank dan 966 pejabat kerajaan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pasukan sama turut memantau 1,107 terminal pengangkutan darat, 224 terminal pengangkutan air serta 131 terminal pengangkutan udara.
Beliau berkata, sebanyak 62 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng juga diadakan di seluruh negara semalam dengan 28,309 kenderaan diperiksa bagi mengekang PATI terutamanya di lorong tikus.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan melalui ops berkenaan.