30 OGOS: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam membuktikan keyakinan rakyat terhadap BN dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan itu juga membuktikan kesepakatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).
Beliau yang juga Presiden BERSATU memberitahu, kesepakatan yang jitu antara ketiga-tiga parti tersebut mampu meraih sokongan padu pengundi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang telah memenangi PRK DUN Slim dengan majoriti yang besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi menang besar dengan memperoleh sebanyak 13,060 undi dalam PRK DUN Slim, mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon Bebas, Amir Kusyairi Mohamad Tanusi dengan majoriti 10,945 undi.
Amir Khusyairi yang menggunakan logo pokok menerima 2,115 undi manakala seorang lagi calon Bebas, S. Santhasekaran hanya beroleh sebanyak 276 undi, sekali gus menyebabkannya kehilangan wang deposit.
Muhyiddin juga berharap agar Mohd Zaidi dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang.
“Tahniah juga diucapkan kepada seluruh jentera pilihan raya yang membantu kemenangan calon BN,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dengan kemenangan besar yang diperoleh Mohd Zaidi.
“Terima kasih kepada pengundi DUN Slim kerana mengundi BN,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera BN, rakan-rakan dalam BN, MN dan PN, pertubuhan bukan kerajaan serta semua pihak yang membantu kemenangan Mohd Zaid dalam PRK DUN Slim.
Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kejayaan dalam PRK DUN Slim sebagai amat bermakna bagi MN dan PN.
Menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus menuntut kita untuk terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN