30 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi pemerhatiannya semasa berkunjung ke Sandakan, Sabah hari ini kepada netizen dalam laman Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata, sejurus tiba di Lapangan Terbang Sandakan, beliau dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman meluangkan masa berkunjung ke Pasar Minggu Sandakan bagi melihat sendiri aktiviti perniagaan penduduk di situ.
Kunjungan ke pasar mingguan yang terletak di tengah-tengah bandar Sandakan itu memberi peluang kepada beliau bertanya khabar dan menyelami masalah yang dihadapi peniaga susulan penularan pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan sambutan dan kunjungan orang ramai ke pasar itu semakin meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lepas, sekali gus membantu meningkatkan pulangan peniaga dan ekonomi penduduk setempat.
“Saya dan isteri kemudiannya singgah bersarapan bersama masyarakat di Restoran Nasi Manuk yang diusahakan oleh dua anak muda tempatan berusia awal 20-an di tebingan laut atau Waterfront Sandakan,” jelasnya.
Muhyiddin cukup berbangga apabila Mohammad Amrin dan Din Amiruddin Amirun, masing-masing berusia 24 dan 23 tahun, mengusahakan perniagaan itu tanpa membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan.
Menurut Mohammad, perniagaan mereka bermula dengan hanya menumpang berniaga di depan kedai tersebut dan berkembang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mampu menyewa premis itu secara tetap.
“Saya bersyukur apabila dimaklumkan Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000 yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN), khusus bagi mengupayakan sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) telah membantu usahawan muda ini menambah baik fasiliti perniagaan mereka.
“Dengannya mereka dapat menyediakan tiga khemah besar di pekarangan restoran,” katanya.
Dari sana, beliau ke Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sandakan, bagi menyertai perjumpaan dengan 400 orang penjawat awam Persekutuan Sabah.
Beliau mengambil kesempatan itu bagi menjelaskan mengenai inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani penularan pandemik COVID-19.
Dalam mendepani kesan wabak tersebut kepada ekonomi, beliau tekankan bahawa penjawat awam perlu bertindak secara luar biasa.
“Ya, mereka semua terikat dengan peraturan dan prosedur tetapi dalam situasi pandemik yang melanda negara, penjawat awam perlu mengurangkan kerenah birokrasi dan membantu rakyat menghidupkan semula ekonomi tanpa sesekali berkompromi dengan aspek integriti,” katanya.
Beliau yakin semua penjawat awam termasuk lebih kurang 14,000 orang yang berkhidmat di 66 agensi Persekutuan di Sandakan tahu peranan masing-masing dalam menjayakan dasar Prihatin Rakyat yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Persekutuan ketika ini.
Lawatan rasmi ke Sabah diakhiri dengan majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat di Dewan Hakka yang dihadiri oleh 450 tetamu daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di daerah Sandakan.
Sebagai sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat, Muhyiddin berharap pimpinan masyarakat yang mempunyai hubungan akrab di peringkat akar umbi dapat sama-sama memainkan peranan membantu kerajaan PN meningkatkan taraf hidup rakyat dalam segenap aspek kehidupan. – Oleh HUSSAINI AMRAN