31 OGOS: Sebanyak dua lagi kes tempatan COVID-19 dilaporkan hari ini dengan kedua-dua jangkitan tersebut dikesan di Kedah melibatkan kluster Tawar dan Telaga.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya enam kes dilaporkan dengan empat lagi jangkitan dari luar negara yang kesemuanya dari Singapura.
Menurut beliau, ia dikesan melibatkan sebuah kluster baru iaitu Kluster Bunga yang terdiri daripada krew kapal di Pelabuhan Port Dickson yang mempunyai sejarah ke Republik itu.
“Seramai 34 orang krew kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos lalu bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal. Daripada jumlah ini empat kes dikesan positif, enam negatif dan 24 individu masih menunggu keputusan.
“Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan dua orang warganegara Malaysia dan dua orang bukan warganegara. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.
“Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di sebuah kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata Noor Hisham, satu kematian yang dilaporkan hari ini adalah dari kluster Tawar yang merupakan kes kematian ke-127 di negara ini.
“Beliau merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar.
“Individu itu mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos setelah didapati positif COVID-19.
“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos jam 10.35 malam,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kluster Tawar, Noor Hisham menambah, jangkitan terbaru yang dikesan hari ini merupakan kes ke-74 dari kluster berkenaan.
Katanya, sehingga tengah hari ini, seramai 16,462 orang telah disaring melibatkan tiga negeri dengan 3,257 masih menunggu keputusan.
“Daripada jumlah itu, 12,553 orang adalah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang membabitkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya.
“Setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam zon-zon tersebut. Sebanyak 8,084 dilaporkan negatif COVID-19 dan 4,469 masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
Menurut beliau, bagi kluster Telaga pula, jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini kini berjumlah sebanyak lima kes.
“Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 735 orang telah disaring dan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini,” ujarnya.
Tambah Noor Hisham, terdapat enam kes sembuh hari ini yang menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 159 kes.
“Sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham mengucapkan Hari Kebangsaan Ke-63 kepada semua warga Malaysia dan berterima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang telah bertungkus lumus berjuang menentang musuh negara yang kini sedang mengancam dunia, iaitu COVID-19.
“Semoga kita terus cekal dan bersatu hati, berganding bahu bagi berjuang membebaskan Malaysia daripada sebarang ancaman virus ini dan segala jenis ancaman yang lain. Bersama-samalah kita menjaga ibu pertiwi kita ini.
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID