30 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian bakal dirujuk ke Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berikutan tindakannya berkempen untuk calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.
Ketua BERSATU Bahagian Pulai, Ya’cob Atan berkata pihaknya membuat aduan kepada Lembaga Disiplin parti selepas mendapati Osman berkongsi pentas sama dan berkempen untuk calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Berikutan itu, Ya’cob berkata pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin selepas BERSATU Bahagian Pulai bermesyuarat minggu depan.
“Berkempen untuk calon yang menentang kita (BERSATU) adalah bertentangan dengan Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” kata Ya’cob yang juga Ketua Penerangan Bersatu Johor pada sidang media selepas merasmikan Program Konvoi Semarak Kemerdekaan Bahagian Bersatu Pulai, hari ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video dalam laman sosial yang memaparkan Osman sedang berucap dipercayai berkempen menyokong Amir Khusyairi.
Malah, dalam rakaman video itu, Osman mengakui masih menjadi ADUN Kempas atas tiket BERSATU dan menjadi ahli parti berkenaan.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) di hadapan sekumpulan kecil penyokong Amir Khusyairi.
Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan Osman sebelum itu yang menyatakan kehadirannya ke Slim, Perak adalah hanya untuk bertemu rakan-rakan lama sambil makan angin dan tiada kaitan dengan politik.